10 Tips menghadapi Ramadhan.
Langkah 1. Berdoalah agar Allah swt. memberikan
kesempatan kepada kita untuk bertemu dengan bulan Ramadan dalam keadaan sihat
wal afiat. Dengan keadaan sihat, kita dapat melaksanakan ibadah secara maksima
di bulan itu, baik puasa, solat, tilawah, dan zikir. Dari Anas bin Malik r.a.
berkata, bahawa Rasulullah saw. apabila masuk bulan Rejab selalu berdoa,
”Allahuma bariklana fii rajab wa sya’ban, wa balighna ramadan.” Ertinya, “ Ya
Allah, berkahilah kami pada bulan Rejab dan Sya’ban; dan sampaikan kami ke bulan
Ramadan.” (Riwayat. Ahmad dan Tabrani) Para salafus-salih selalu memohon kepada
Allah agar diberikan kurnia bulan Ramadhan; dan berdoa agar Allah menerima amal
mereka. Bila telah masuk awal Ramadhan, mereka berdoa kepada Allah, ”Allahu
akbar, allahuma ahillahu alaina bil amni wal iman was salamah wal islam wat
taufik lima tuhibbuhu wa tardha.” Ertinya, “Ya Allah, kurniakan kepada kami
pada bulan ini keamanan, keimanan, keselamatan, dan keislaman; dan berikan
kepada kami taufik agar mampu melakukan amalan yang engkau cintai dan redhai.”
Langkah 2. Bersyukurlah dan puji Allah atas kurnia
Ramadan yang kembali diberikan kepada kita. Al-Imam Nawawi dalam kitab
Adzkar-nya berkata, ”Dianjurkan bagi setiap orang yang mendapatkan kebaikan dan
diangkat dari dirinya keburukan untuk bersujud kepada Allah sebagai tanda
syukur; dan memuji Allah dengan pujian yang sesuai dengan keagungannya.” Dan di
antara nikmat terbesar yang diberikan Allah kepada seorang hamba adalah ketika
dia diberikan kemampuan untuk melakukan ibadah dan ketaatan. Maka, ketika
Ramadan telah tiba dan kita dalam keadaan sihat wal afiat, kita harus bersyukur
dengan memuji Allah sebagai bentuk syukur.
Langkah 3. Bergembiralah dengan kedatangan bulan
Ramadan. Rasulullah saw. selalu memberikan khabar gembira kepada para sahabat
setiap kali datang bulan Ramadan, “Telah datang kepada kalian bulan Ramadan,
bulan yang penuh berkah. Allah telah mewajibkan kepada kalian untuk berpuasa.
Pada bulan itu Allah membuka pintu-pintu syurga dan menutup pintu-pintu neraka.”
(Riwayat Ahmad). Salafus-salih sangat memperhatikan bulan Ramadan. Mereka
sangat gembira dengan kedatangannya. Tidak ada kegembiraan yang paling besar
selain kedatangan bulan Ramadan kerana bulan itu bulan penuh kebaikan dan
turunnya rahmat.
Langkah 4, Rancanglah agenda kegiatan untuk
mendapatkan manfaat sebesar mungkin dari bulan Ramadhan. Ramadhan sangat
singkat. Kerana itu, isi setiap detiknya dengan amalan yang berharga, yang
dapat membersihkan diri, dan mendekatkan diri kepada Allah.
Langkah 5. Bertekadlah mengisi waktu-waktu Ramadan
dengan ketaatan. Barangsiapa jujur kepada Allah, maka Allah akan membantunya
dalam melaksanakan agenda-agendanya dan memudahnya melaksanakan
aktiviti-aktiviti kebaikan. “Tetapi jikalau mereka benar terhadap Allah, niscaya
yang demikian itu lebih baik bagi mereka.” [Muhamad (47): 21]
Langkah 6. Pelajarilah hukum-hukum semua amalan ibadah
di bulan Ramadan. Wajib bagi setiap mukmin beribadah dengan dilandasi ilmu.
Kita wajib mengetahui ilmu dan hukum berpuasa sebelum Ramadan datang agar puasa
kita benar dan diterima oleh Allah. “Tanyakanlah kepada orang-orang yang
berilmu, jika kamu tiada mengetahui,” begitu kata Allah di Al-Qur’an surah
Al-Anbiyaa’ ayat 7.
Langkah 7. Sambut Ramadan dengan tekad meninggalkan
dosa dan kebiasaan buruk. Bertaubatlah secara benar dari segala dosa dan
kesalahan. Ramadan adalah bulan taubat. “Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada
Allah, hai orang-orang yang beriman, supaya kamu beruntung.” [An-Nur (24): 31]
Langkah 8. Siapkan jiwa dan ruhiyah kita dengan bacaan
yang mendukung proses tazkiyatun-nafs. Hadiri majlis ilmu yang membahas tentang
keutamaan, hukum, dan hikmah puasa. Sehingga secara mental kita siap untuk
melaksanakan ketaatan pada bulan Ramadan
Langkah 9. Siapkan diri untuk berdakwah di bulan
Ramadhan dengan: seperti membuat catatan kecil untuk tazkirah tarawih serta
selepas solat subuh dan zuhur serta membahagikan buku saku atau selebaran yang
berisi nasihat dan keutamaan puasa.
Langkah 10. Sambutlah Ramadan dengan membuka lembaran
baru yang bersih. Kepada Allah, dengan taubatan nasuha. Kepada Rasulullah saw.,
dengan melanjutkan risalah dakwahnya dan menjalankan sunnah-sunnahnya. Kepada
orang tua, isteri, anak, dan karib kerabat, dengan mempererat hubungan
silaturrahim. Kepada masyarakat, dengan menjadi orang yang paling bermanfaat
bagi mereka. Sebab, manusia yang paling baik adalah yang paling bermanfaat bagi
orang lain.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar